Zakat Perniagaan
Zakat Perniagaan
Aktiviti perniagaan merupakan salah satu cara beroleh pendapatan jadi ia boleh dikenakan zakat perniagaan. Pada dasarnya, ianya tidak jauh beza daripada zakat pendapatan, di mana ianya dikenakan ke atas para peniaga dan usahawan, manakala zakat pendapatan pula lazimnya untuk mereka yang bekerja makan gaji. Namun, perbezaan yang paling ketara antara kedua-dua kategori ini adalah bagaimana cara kiraannya masing-masing. Cara pengiraannya berbeza kerana melibatkan syarikat serta cara operasi perniagaan tersebut. Mari ketahui dengan lebih lanjut lagi mengenai perkara ini.
Apa Itu Zakat Perniagaan?
Zakat perniagaan merupakan zakat yang perlu dibayar berdasarkan hasil atau pendapatan daripada aktiviti perniagaan. Aktiviti perniagaan ini termasuk pelbagai bidang dan industri seperti perniagaan berasaskan pembuatan, perkhidmatan, jual beli barangan, perlombongan, pertanian, perladangan, perkapalan, logistik, pembekalan, pengedaran dan sebagainya.
Sementara itu, bentuk perniagaan yang dikenakan zakat termasuk perniagaan persendirian, perkongsian, dan malahan perniagaan perkongsian dengan rakan kongsi bukan Islam. Semua jenis syarikat, koperasi, gerai, perniagaan atas talian, perniagaan saham, dan apa sahaja aktiviti yang melibatkan pertukaran wang untuk barangan atau perkhidmatan dikira sebagai perniagaan dan perlu membayar zakat jika memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan.
Kelebihan Membayar Zakat Perniagaan
Indahnya membayar zakat, tidak kira apa jenis zakat sekalipun, adalah bagaimana ianya amalan yang menyempurnakan ibadah kita kepada Allah SWT, dan juga membolehkan kita bantu-membantu sesama manusia. Ia bagaikan dua kali ganda kelebihan yang dirasai hasil daripada menunaikan tanggungjawab ini.
Secara spesifik pula, terdapat beberapa kelebihan kepada amalan membayar zakat perniagaan secara khususnya. Antaranya termasuk:-
- Membersihkan hasil perniagaan daripada segala unsur tersalah timbang atau tersalah kira yang mungkin tidak kita sedari semasa melakukannya
- Menimbulkan rasa bersyukur ke atas rezeki yang dikurniakan pada perniagaan kita
- Juga menjadi dorongan untuk berusaha dengan lebih kuat lagi setelah diteliti hasil perniagaan pada sesuatu tahun, semoga dapat menyumbang dengan lebih banyak lagi kepada ummah dan masyarakat
- Rasa berpuas hati kerana dapat membantu golongan asnaf serta membantu membangunkan masyarakat hasil daripada sumbangan dan bayaran kita
- Meningkatkan taqwa kepada Allah SWT kerana dapat melihat sendiri bahawa membelanjakan harta ke jalan Allah tidak akan merugikan harta dan perniagaan
- Dan banyak lagi kelebihan lain membayar zakat yang mungkin tidak kita sedari
Kira Zakat Perniagaan
Kira Zakat Perniagaan Individu
Kira Zakat Perniagaan Syarikat/Organisasi