Zakat Pendapatan

Zakat Pendapatan

Seorang Muslim, apabila cukup syarat wajib baginya, perlu membayar zakat pendapatan setiap tahun ke atas segala perolehan wang atau gaji untuk tahun itu. Malahan, kepentingan membayar zakat dapat dilihat dalam Rukun Islam sendiri, iaitu Rukun Islam ketiga: Kewajiban membayar zakat (bagi mereka yang berkemampuan).

Tentunya terdapat banyak kelebihan diwajibkan membayar zakat. Ia mempunyai kebaikan untuk kedua-dua pihak individu serta masyarakat dan ummah. Antara kelebihan zakat termasuk:-

  • Membantu pembangunan ummah dan masyarakat kerana zakat yang dikutip akan disalurkan kepada golongan asnaf yang memerlukan termasuk fakir miskin, anak yatim dan juga para pelajar kurang berkemampuan
  • Menyatukan ummah dalam hal ekonomi, di mana sama-sama dapat berbincang cara terbaik untuk sama-sama maju dalam pengumpulan harta
  • Mewujudkan hubungan sesama insan di antara pemberi dan penerima zakat – walaupun pembayar zakat mungkin tidak bertemu para penerima zakat, namun dapat melihat pembangunan dan bantuan yang diberikan hasil daripada kutipan zakat
  • Mengelakkan perasaan iri hati sesama insan dan malahan mungkin juga dapat memberi inspirasi kepada golongan penerima zakat untuk memajukan diri sendiri agar dapat menyumbang kepada ummah suatu hari nanti melalui zakat ke atas kekayaan sendiri
  • Menanamkan sifat bertanggungjawab dalam diri individu, terutamanya ketua keluarga
  • Menyucikan harta yang mungkin was-was bagi pembayar zakat
  • Salah satu peluang untuk meningkatkan ibadah adalah dengan membayar zakat ke atas kurniaan daripada Allah SWT
    dan banyak lagi

Fatwa Zakat Pendapatan

Sebenarnya, terdapat dua jenis zakat pendapatan, di mana seseorang individu perlu membayar salah satu atau mungkin kedua-duanya sekali jika cukup syarat nisab zakat.

Jenis yang pertama adalah zakat gaji. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-56 yang bersidang pada 7 Mei 2003 telah membincangkan Zakat Gaji Beserta Kadarnya. Hasil perbincangan, muzakarah telah memutuskan bahawa asas pengiraan zakat pendapatan dan gaji adalah berdasarkan kepada pendapatan kasar setahun dan nisab zakat yang dikenakan ialah sebanyak 2.5% daripada jumlah pendapatan tersebut.

Jenis yang kedua pula adalah zakat pendapatan professional, iaitu bagi individu tanpa pekerjaan kerja tetap di mana-mana syarikat jadi tidak memperoleh pendapatan bulanan. Jenis individu ini contohnya seperti perunding bebas, penulis buku, pengacara majlis, pelakon, dan sebagainya.

Bagi pendapatan professional, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-31 dan Muzakarah Khas yang bersidang pada 9 Disember 1992 telah membincangkan Zakat Gaji & Zakat Pendapatan Professional. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

  1. Umat Islam boleh mengeluarkan zakat daripada pendapatan gaji dan Jabatan Hasil Dalam Negeri hendaklah memberi rebet zakat ke atas jumlah yang dibayar itu.
  2. Diwajibkan zakat ke atas pendapatan tahunan seseorang profesional kerana ia termasuk dalam zakat perniagaan.

Kira Zakat Pendapatan

Niat Zakat Pendapatan

“Inilah wang sebanyak RM…………. sebagai menunaikan Zakat Simpanan yang wajib ke atas diri saya / pihak yang saya wakil untuk tahun…………. kerana Allah Ta’ala.”